Latar belakang Lebuhraya Kajang-Seremban

Kesesakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) khususnya di antara Kuala Lumpur dan Seremban (E2) menyebabkan sebuah lagi lebuh raya diperlukan pada tahun 1998.

Berikutan itu Kerajaan Malaysia memberi hak konsesi secara pakej kepada syarikat baru iaitu KASEH Sdn. Bhd. pada Julai 1997 untuk tempoh konsesi selama 33 tahun.

Cadangan projek ini adalah merupakan pembinaan lebuh raya dari Kajang ke Seremban. Lebuh raya ini bersambung dengan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang‎ dan Lebuh raya Grand Saga terus ke Kuala Lumpur. Terlalu ramai penduduk Seremban yang bekerja setiap hari di Kuala Lumpur. Kesesakan memuncak di Plaza Tol Seremban dan Plaza Tol Senawang.

Sebahagian lebuh raya ini adalah merupakan pembinaan lebuh raya baru dari Kajang hingga ke Seremban melalui Bangi, Semenyih, Beranang, Pajam, Nilai dan Mantin. Ia bermula dari Persimpangan Bertingkat `clover-leaf' dengan Lebuhraya Lingkaran Kajang dan Jalan Pintasan Kajang dan menuju ke selatan hingga berakhir di Jalan Persekutuan FT 51 sejauh 5 km dari Bandar Seremban. Keseluruhan jarak lebuh raya ini adalah sepanjang 46 km.

Sebanyak tujuh (7) buah Persimpangan Bertingkat akan dibina di sepanjang lebuh raya ini seperti yang berikut:

  1. Persimpangan Bertingkat Kajang Selatan
  2. Persimpangan Bertingkat Semenyih
  3. Persimpangan Bertingkat Pajam
  4. Persimpangan Bertingkat Mantin
  5. Persimpangan Bertingkat Setul
  6. Persimpangan Bertingkat Taman Desa Temiang (tiada bayaran tol dikenakan)
  7. Persimpangan Bertingkat Ampangan
  8. Persimpangan Bertingkat Paroi (tiada bayaran tol dikenakan)

Pada dasarnya lebuh raya ini beroperasi secara Sistem Tol Tertutup kecuali di antara Persimpangan Bertingkat Setul dan Persimpangan Bertingkat Ampangan yang dikendalikan secara Sistem Tol Terbuka.

Sebanyak 5 buah plaza tol (termasuklah Plaza Tol Kajang Selatan dan Plaza Tol Setul) didirikan di setiap persimpangan bertingkat bagi jajaran yang akan dikendalikan secara Sistem Tol Tertutup, manakala sebuah plaza tol akan didirikan di Persimpangan Bertingkat Ampangan bagi sistem tol terbuka.

Lebuh raya ini merupakan laluan alternatif kepada pengguna-pengguna yang menuju ke selatan selain daripada Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Persekutuan sedia ada. Ia juga diharap dapat menjana pembangunan di kawasan persekitarannya khususnya di Nilai, Semenyih, Beranang, Mantin, Pajam dan Batang Benar.